Musibah – hakikat serta balasannya

Untuk sahabat dan pembaca yang sedang mengalami ujian atau musibah, saya berharap artikel2 di bawah dapat meringankan kesedihan yang sedang anda lalui. Semoga isinya dapat direnungkan bersama, dan saya berdoa Allah akan memberi pengganti yang jauh lebih baik, keampunan, pertolongan dan kasih sayang-Nya, kekuatan jiwa & iman, taufik & hidayah, mendapat husnul-khatimah, serta syurga yang berkekalan. Amin

———————————————————

Oleh Kasmuri Selamat
(Rahmat disebalik dugaan)

 baqarah156.jpg

baqarah157.jpg

Ertinya: “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan; ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan-Nya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk.”  (Al-Baqarah: 156-157)

Khalifah Umar bin Khattab r.a. berkata: Sebaik-baik ucapan kemuliaan bagi orang yang ditimpa musibah adalah ucapan kedua ayat di atas, sebagaimana yang dijelaskan pula di dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Tiada suatu musibah pun yang menimpa diri seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya.”  (HR Bukhari)

Di dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Apa pun yang, menimpa diri seorang mukmin dari kepayahan, kesakitan, kesusahan dan apa pun keresahan yang dirasakannya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari keburukan-keburukannya.”  (HR Muslim)

Sabdanya lagi yang bermaksud:

“Tiada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim melainkan Allah menghapuskan keburukannya (dosanya) walaupun duri yang mengenai dirinya.”  (HR Bukhari & Muslim)

Imam Ahmad dari Yunus, dari Ibnu Saad, dari Yazid bin Abdullah, dari Amir bin ABu Amir, dari Muttalib, dari Ummi Salamah berkata:  “Pada suatu ketika Abu Salamah mendatangiku setelah ia kembali dari menemui Rasulullah s.a.w., ia berkata: ‘Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang sungguh membuat saya berasa gembira, sebagaimana sabdanya, “Tidak ada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim lalu ia membaca Istirja’ (Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un) pada saat musibah itu menimpanya, lalu ia berdoa seperti di bawah (melainkan Allah akan mengabulkan doanya);

Ertinya: “Ya Allah, berilah kami pahala dari musibah ini, dan berilah kami ganti yang lebih baik dari musibah ini.”

Ummi Salamah seterusnya berkata: Pada saat Abu Salamah meninggal dunia saya menghafal doa itu dan saya membaca Istirja’ serta berdoa: Ya Allah berilah kami pahala dari musibah yang menimpa pada diri kami ini, dan berilah kami ganti yang lebih baik dari Abu Salamah.

Pada saat saya telah mulai sedar dari kesedihan yang saya alami, saya bertanya kepada diri saya sendiri: “Siapakah orang yang lebih baik dari Abu Salamah?”

Akhirnya pertanyaan saya itu terjawab setelah massa iddah saya habis. Rasulullah s.a.w. datang bertamu ke rumah saya, lalu meminta izin untuk masuk. Saya pun mengizinkannya masuk, lalu saya memberikan sebuah bantal kepadanya untuk sandaran. Baginda duduk lalu baginda meminang diri saya untuk dirinya sendiri.

Pada saat itu saya berkata: “Siapakah yang tidak menginginkan hal itu? Walaupun demikian, saya harap baginda maklum, saya adalah orang yang sangat cemburu, dan saya merasa takut jika Allah akan menyeksa diri saya disebabkan perasaan cemburu saya itu, dan saya pun wanita yang sudah agak tua dan memiliki keluarga.”

Baginda menjawab: “Adapun tentang kecemburuanmu itu, maka Allah akan menghalangkannya, tentang umurmu yang sudah agak tua, maka keadaanku pun demikian juga. Adapun tentang keluargamu, maka keluargamu adalah keluargaku.”

Ummi Salamah berkata: “Saya pun menyerah kepada kehendak baginda.”

Maka Rasulullah s.a.w. mengahwini Ummi Salamah. Setelah itu Ummi Salamah berkata: “Benarlah apa yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. itu. Dia telah memberikan ganti untukku dengan yang lebih baik dari Abu Salamah.”

Di samping itu juga, untuk mengetahui hakikat dari cubaan atau musibah, yang ditimpakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya itu dapat diperhatikan dari sebuah hadith Qudsi yang maksudnya:

“Allah berfirman kepada para Malaikat-Nya: ‘Pergilah kamu kepada hamba-Ku timpakanlah berbagai macam ujian kepadanya, kerana Aku ingin mendengar suaranya.”  (HR Tabrani)

Hadith di atas menjelaskan, bahawa Allah s.w.t. memerintahkan kepada para malaikat-Nya yang tidak pernah derhaka dan tetap melaksanakan apa yang Allah perintahkan kepada mereka, supaya melakukan berbagai macam ujian dan cubaan kepada hamna-hamba-Nya. Dengan demikian, akan dapat didengar suara hamba-Nya yang sedang mengalami ujian dan cubaan itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati hamba-Nya itu.

Untuk kita ketahui, bahawa hidup di dunia ini memang tidak sunyi dari senang dan susah, dari suka dan duka yang datang silih berganti. Barangsiapa yang menyangka bahawa hidup ini hanya kesenangan, kegembiraan serta kemewahan semata atau menyangka sebaliknya bahawa hidup ini hanya kesusahan, kesedihan, kesempitan selama-lamanya, maka sudah pasti sangkaannya itu adalah sangkaan yang salah. Di antara kesenangan dan kesusahan itulah merupakan seni kehidupan, dan ianya juga telah merupakan sunnatullah pada alam semesta ini.

Sesungguhnya hidup ini penuh dengan ujian dan cubaan. Segala sesuatunya apabila tidak diuji atau dicuba, maka tidak akan kelihatan keasliannya, sehingga orang tidak dapat mengetahui mana yang emas murni dan mana yang tembaga.

Demikian juga terhadap manusia khususnya terhadap orang yang telah mengaku bahawa dirinya beriman, sudah tentu harus melalui ujian dan cubaan pula. Sebagaimana firman Allah s.w.t.:

ankabut2.gif

ankabut3.gif

Ertinya: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”   (Al-Ankabut: 2-3)

Dalam ayat di bawah ini, dijelaskan pula tentang hubungan antara manusia dengan kehidupan adalah hubungan antara ujian dan cubaan. Sebagaimana firman Allah s.w.t.:

Ertinya: “Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amal perbuatannya. Dan sesungguhnya Kami akan menjadikan (pula) apa yang ada di atasnya menjadi tanah rata dan tandus.”  (Al-Kahfi: 7-8)

Ujian dan cubaan itu tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan saja, akan tetapi dapat juga berupa kesenangan, kemewahan dan sebagainya, sebagaimana firman Allah s.w.t.:

 anbiya35.gif

Ertinya: “Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.”  (Al-Anbiya’: 35)

Ujian yang datang dari Allah berupa nikmat harta kekayaan dan berbagai macam kesenangan, pada hakikatnya adalah lebih berat daripada ujian dengan bencana, seksaan dan lain-lain. Alangkah ramainya orang-orang yang memperoleh kekayaan, akan tetapi dengan kekayaannya itu menyebabkan celaka bagi dirinya, kerana ia tidak dapat menggunakan hartanya itu dengan sebaik-baiknya. Kekayaan seperti itu justeru menjadi ujian bagi dirinya.

Demikian pula dapat kita lihat orang yang diuji dan dicuba dengan kekuasaan, kemegahan, pangkat dan lain-lain. Hal yang demikian ini di peringatkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang maksudnya:

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah kamu kembali.”  (Al-A’laq: 6-8.)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Demi Allah, bukanlah kekafiran atau kerana kemiskinan yang aku bimbangkan atas kamu, akan tetapi aku bimbang kalau-kalau kemewahan dunia yang kamu dapatkan sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu sehingga kamu binasa sebagaimana mereka dahulu bergelumang dan binasa pula.”  (HR Bukhari)

Ujian dan cubaan itu bermacam-macam dan bertingkat-tingkat pula. Ada ujian yang menimpa badan, harta, anak, pengaruh kekuasaan, jawatan, aqidah dan lain-lain. Demikian juga perintah dan larangan dalam agama termasuk ujian dan cubaan, tegasnya agama itu sendiri adalah ujian dan cubaan.

Di atas telah diterangkan, bahawa ujian yang berat adalah nikmat kesenangan, sedangkan yang ringan adalah ujian yang menimpa pada badan, seperti terkena penyakit atau kemalangan. Ujian pada badan ini dimaksudkan untuk menguji kesabaran, kerelaan seseorang dalam menerima qadha dan qadar Allah s.w.t., kalau ternyata ia sabar, ditetapkan pahala untuknya atau dihapuskan sebahagian dari dosanya atau diangkat darjatnya, hingga ujian itu menjadi suatu nikmat baginya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti ditusuk oleh duri atau yang lebih berat daripadanya, melainkan dengan ujian itu dihapuskan oleh Allah s.w.t. perbuatan buruknya seta digugurkan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya.”  (HR Muttafaq alaih)

“Ujian yang tidak henti-hentinya menimpa kaum Mukmin lelaki dan perempuan, yang menimpa dirinya, hartanya, anaknya, akan tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.”  (HR Tarmidzi)

Tidak ada musibah yang menimpa seperti keletihan, kelesuan, sakit, duka, susah atau gangguan sekadar tusukan duri sekalipun, melainkan dihapuskan oleh Allah sebahagian dari dosa seseorang itu. Ujian untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah berupa harta benda dan kekayaan, sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda di dalam sebuah hadith yang maksudnya:

“Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”  (HR Tarmidzi)

Dalam sebuah hadith Qudsi dijelaskan pula yang maksudnya:

“Wahai anak Adam! Padamu telah ada kecukupan, namun kamu masih saja mencari-cari apa yang nantinya akan menjadikan kamu melampaui batas wahai anak Adam, sesungguhnya kamu tidak puas dengan yang sedikit dan tidak kenyang dengan yang banyak.

Wahai anak Adam! Bila di waktu pagi tubuhmu telah diberikan kesihatan, merasa aman dalam persekitaranmu dan memiliki makanan untuk hari itu, maka hendaknya tidak perlu kamu perdulikan lagi apa yang terjadi terhadap dunia.”  (HR Baihaqi)

Sedangkan ujian berupa cinta, akan menyebabkan seseorang melampiaskan hawa nafsu dan melanjutkan keturunan sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Ertinya: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang sebaik-baiknya (syurga).”  (Ali-Imran: 14)

Ujian yang paling berat bagi kaum lelaki ialah apabila ia diuji dengan wanita, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Sepeninggalanku nanti tiadalah ujian yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita.”  (HR Bukhari)

Adapun ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir adalah ujian yang berkenaan dengan aqidah dan agama. Ramai orang yang mengaku Islam, beriman, termasuk pulak alim ulama’, setelah diuji iman dan agamanya oleh Allah s.w.t. dengan berbagai-macam cubaan, ternyata lemah dan terjerumus ke dalam lembah syahwat keinginannya sehingga menjadi sesat.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang maksudnya:

“Dan di anatara manusia ada orang yang berkata: Kami beriman kepada Allah, maka apabila ia disakiti (kerana ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhan, mereka pasti akan berkata: Sesungguhnya kami adalah bersertamu. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia?

Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik.”  (Al-Ankabut: 10-11)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Orang yang sangat banyak mendapat ujian itu adalah para Nabi, kemudian baru orang yang lebih dekat darjatnya kepada mereka. Orang diuji menurut tingkat ketaatannya kepada agamanya. Jika sangat kuat dalam beragama maka sangat kuat pula ujian yang menimpanya, bila lemah dalam agamanya, maka diuji pula oleh Allah s.w.t. sesuai dengan tingkatan ketaatannya kepada agamanya. Demikianlah ujian itu sentiasa ditimpakan kepada seorang hamba sampai ia dibiarkan berjalan di muka bumi dalam keadan tidak berdosa.”  (HR Tarmidzi)

Dari keterangan yang telah dihuraikan di atas dapatlah disimpulkan di sini, bahawa tujuan dari musibah atau cubaan yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya itu ialah:

  • Untuk membersihkan dan memilih, mana orang mukmin yang sejati dan mana yang munafik.
  • Untuk mengangkat darjat serta menghapuskan dosa.
  • Untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketaatan seorang hamba.
  • Untuk membentuk dan mendidik keperibadian manusia, sehingga menjadi umat berbudi tinggi.
  • Sebagai latihan, supaya manusia terbiasa menerima berbagai ujian, dengan demikian akan bertambah kesabaran, kuat cita-cita dan tetap pendiriannya.

Respond to this post