Umat dituntut pulihara imej Islam, pertingkat akhlak mulia

Oleh Mohd Zamri Shafie

akhlakmulia.jpg

ISLAM dan umatnya diberi pelbagai label dan berbagai jenis gambaran yang boleh memberi impak negatif kepada Islam secara keseluruhan. Imej negatif itu berpunca daripada sikap dan keadaan umat Islam sendiri.

Antaranya keruntuhan akhlak kalangan muda-mudi Islam, imej kemiskinan, imej sebagai pengganas dan sebagainya. Imej itu adalah cabaran yang perlu dihadapi umat Islam dalam menongkah arus realiti dunia global hari ini.

Cabaran itu tidak mungkin berlalu begitu saja tanpa disahut dan didepani dengan penuh hikmah serta bijaksana oleh umat Islam.

Contohnya, keruntuhan akhlak yang melanda dan membayangi segenap sendi kehidupan muda-mudi seperti pergaulan bebas, lumba haram, ketagihan dadah dan seks bebas banyak memberi impak terhadap imej umat dan agama Islam secara menyeluruh.

Rasulullah SAW yang lebih 1428 tahun meninggalkan kita sudah memberi cabaran kepada umatnya supaya memelihara imej agama dengan mempertingkatkan keelokan dan ketinggian akhlak.

Baginda SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyerahkan agama (Islam) itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Hadis itu memberi penekanan mengenai akhlak sebagai ‘cermin’ kepada sesuatu umat. Akhlak yang mulia adalah perhiasan diri selain daripada ‘cermin’ kepada agama yang dianuti.

Demi memelihara imej agama dan umatnya, sewajarnya kita mengambil langkah lebih proaktif bagi memulihara imej Islam yang sudah dicemari unsur negatif.

Kita tidak seharusnya membiarkan Islam dengan pelbagai nama yang bersifat liberal atau pluralisme. Sebagai umat Islam, tidak boleh sama sekali menyamataraf agama Islam dengan agama lain.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah mengenai kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Perkara itu ditegaskan Nabi SAW menerusi sabdanya bermaksud: “Islam itu tinggi, dan tidak ada agama yang lebih tinggi daripadanya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Islam datang daripada Allah yang Maha Bijaksana. Ia sesuai dengan fitrah manusia. Terkandung dalam persuratan ajarannya keadilan untuk semua golongan. Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim memulihara imej Islam.

Umat Islam hendaklah meneguhkan pegangan kepada agama yang mulia itu dan memeliharanya daripada segala apa yang boleh merosakkan, kerana agama Islam saja yang diredai Allah dan yang menentukan nasibnya untuk mencapai kebahagiaan yang sebenarnya khususnya di akhirat kelak (Mustika Hadis Jilid Pertama halaman 408).

Tanggungjawab menjaga agama ditegaskan Allah SWT melalui firman yang bermaksud: “(Sifat-sifat Nabi Muhammad SAW itu sudahpun diterangkan dalam Kitab Taurat, tetapi orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang Yahudi yang dipertanggungjawabkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah, dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 5)

Allah SWT membuat perbandingan dan menyifatkan orang Yahudi dengan sifat yang buruk iaitu mengingkari kerasulan Nabi Muhammad SAW .

Golongan Yahudi dan Nasrani diumpamakan seperti keldai. Bagaimana pula sebagai bandingannya, umat Islam yang hidup hari ini dengan memakai nama Islam, tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam. Orang yang membaca al-Quran dan kitab diwarisi ulama, tetapi mengabaikan ajaran yang terkandung di dalamnya.

Di bahu umat Islam ‘terbeban’ satu tanggungjawab dan janji seperti diperakukan dalam kalimah syahadah yang dilafazkan. Ia amanah yang perlu ditunaikan. Janji dan tanggungjawab itu tidak terhad dalam menyebarkan ajaran-Nya semata-mata, bahkan ia perlu kepada penghayatan setiap individu Muslim.

Kegagalan memenuhi janji dan tanggungjawab setiap Muslim diumpamakan Allah sebagai keldai yang tidak tahu apa dipikulnya. Amanah terhadap agama melambangkan ketinggian peribadi dan keimanan seorang Muslim.

Seseorang yang mengabaikan tanggungjawab terhadap agama termasuk dalam golongan yang zalim.

-Mohd Zamri Shafie adalah Imam Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam Kuala Lumpur

Respond to this post