Tips Menghafaz Al-Quran 2

    • Tanamkan di dalam hati kepentingan al-Quran.
    • Kuatkan azam dan tekad untuk menghafaz (dengan membayangkan ganjaran yang Allah SWT akan beri bagi setiap huruf, yakni 700 hingga 7000 kebaikan).
    • Mesti sentiasa bersikap positif. Jangan sekali-kali menyatakan susah.
    • Hafaz satu ayat secara perlahan-perlahan dan baca dengan jumlah yang banyak, sekurang-kurangnya 60 kali. Ini bertujuan memupuk minat menghafaz.
    • Jangan berpindah ke ayat yang lain sebelum ayat yang dihafaz betul-betul lancar.
    • Jangan tergesa-gesa hendak menghafaz kerana ini akan menjadi musuh kepada istiqamah (berterusan).
    • Masalah kelancaran tajwid akan dapat diatasi semasa menghafaz. Ini disebabkan apabila menghafaz kita akan mengulangnya banyak kali. Dengan ini secara langsung akan meningkatkan kemahiran pembacaan.
    • Menghafaz melatih kita bersabar – satu latihan yang bernilai bagi kita untuk menghadapi cabaran hidup.
    • Masalah kepada penghafaz ialah kelupaan. Kelupaan inilah yang akan membunuh semangat menghafaz.
    • Ada orang mengatakan : Menghafaz ini susah, ingatan saya kurang kuat, orang dewasa susah untuk menghafaz, ayat itu susah untuk lekat pada saya dan sebagainya. Semua ini adalah sikap negatif yang mesti dibuang. Insya’ Allah, dengan teknik yang sesuai, berkesan dan sistematik, semua orang boleh menghafaz al-Quran.
    • Allah SWT berfirman : “Dan orang-orang yang berjihad (bersungguh-sungguh) untuk mencari keredaan Kami, pasti Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut 29:69)
    • Tujuan menghafaz adalah supaya ianya kukuh dan mudah diulang yang mana akan meningkatkan nikmat dan kekhusyukan membaca.
    • Sebab kelupaan : Kesan pertama yang lemah, tidak diulang, percampuran dengan perkara yang lain, maksiat dan seumpamanya.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan izin-Nya, barakah dan kemudahan dalam segala usaha. Kuatkan semangat untuk merealisasikan segala azam dan impian murni untuk kebaikan akhirat kita bersama.

Salam sayang dari saya.

Tips Menghafaz Al-Quran 1

    • Mestilah dimulakan niat untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran itu kerana Allah.
    • Menggunakan naskhah al-Quran yang sama setiap kali membaca, menghafaz, dan membuat rujukan (semakan bacaan). Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan tempat (kedudukan) ayat yang dihafaz. Tempat ayat atau posisi memainkan peranan penting dan amat berpengaruh dalam memberi kesan kepada hafazan anda.
    • Gunakan naskhah al-Quran mushaf Uthmani kerana kedudukan, struktur, dan susunan ayat-nya di atur dalam bentuk yang mudah untuk dihafaz, dirujuk, dan di ingati.
    • Ayat atau surah yang hendak di hafaz hendaklah di lancarkan bacaanya terlebih dahulu. Pastikan tajwidnya dengan betul. Sebagai contoh hendak hafaz surah Ali-Imran. Mulakan dari muka surat yang pertama surah tersebut. Lancarkan muka surat yang pertama itu dahulu.
    • Bacaan hendaklah diulang-ulang sehingga betul-betul lancar. Pastikan tidak mula menghafaz ayat lain sebelum bacaan betul-betul lancar kerana ini akan menjadikan anda mudah lupa semula ayat tersebut dan mungkin juga mengakibatkan hafazan anda bercelaru. Cara yang saya sarankan adalah dengan mengulang satu-satu ayat sekurang-kurangnya sebanyak 60 kali. 5 kali menatap mushaf, dan 5 kali menutup mushaf.
    • Mulakan hafazan dari ayat ke ayat. Pastikan hafazan mengikut langkah. Hafaz dahulu ayat yang pertama sehingga hafaz (baca ayat pertama berulang-ulang kali sebagai satu cara menghafaz yang baik), barulah berpindah ke ayat yang kedua. Kemudian hafaz ayat ke kedua, ulang balik dari ayat yang pertama. Kemudian baru masuk ayat yang seterusnya.
    • Pastikan ada kawan atau ustaz/ustazah yang dipercayai ilmu tajwidnya dan baik bacaannya untuk anda tasmi’ (memperdengarkan atau semak) bacaan dan hafazan anda.
    • Amalkan membaca ayat-ayat yang telah anda hafaz dalam solat-solat yang anda lakukan. Banyakkan solat sunat sebagai satu cara yang baik bagi melatih bacaan ayat-ayat yang telah dihafaz. Ini bertujuan membiasakan ayat-ayat yang telah di hafaz ke dalam amalan harian anda.
    • Amalkan membaca ayat-ayat Quran yang telah anda hafaz di mana-mana sahaja sebagai zikir atau lantunan hati atau mulut. Contohnya, ketika memandu dalam kereta, ketika lapang, ketika hendak tidur, dan lain-lain yang di fikirkan baik. Hal ini akan menambahkan lagi keupayaan anda untuk mengingati ayat-ayat hafazan tersebut.
    • Amalkan memakan manisan seperti kurma atau madu bagi tujuan menguatkan daya ingatan.
    • Jauhi amalan maksiat. Jaga bicara lidah, jaga kewajipan dan adab sebagai muslim.
    • Tanamkan semangat yang kuat untuk menghafaz bukan sekadar suka-suka. Cuba hafaz sebanyak mungkin. Insya’ Allah sehingga hafiz, walaupun memakan masa yang lama.
    • Banyakkan memohon doa kepada Allah supaya di permudahkan hati dan minda untuk menerima al-Quran.
    • Pilih waktu yang sesuai untuk menghafaz. Sebagai contoh, waktu selepas solat fardhu. Utamakan sebelum waktu subuh atau selepas subuh kerana waktu ini tenang dan damai. Pastikan istiqamah dengan waktu yang anda gunakan untuk menghafaz.
    • Tidak perlu menghafaz secara terburu-buru. Biar sedikit-sedikit, asalkan istiqamah dan berkesan.

Semoga tips-tips ini dapat memberi suntikan motivasi kepada para pembaca dan sahabat yang saya kasihi sekalian. Mudah-mudahan Allah mengurniakan izin-Nya, barakah dan kemudahan dalam segala usaha. Kuatkan semangat untuk merealisasikan segala azam dan impian murni untuk kebaikan akhirat kita bersama.

Salam sayang dari saya.

Al-Quran Kesembuhan Bagi Hati

KETAHUILAH wahai saudara bahawasanya pembacaan al-Quran menjernihkan karatan hati, menenangkan jiwa, menghilangkan dukacita, melapangkan masalah, menurunkan ‘sakinah‘ (ketenteraman), menyebabkan engkau diliputi rahmat, serta dinaungi oleh malaikat. Allah pun menyebutmu di hadapan malaikat-Nya. Allah berfirman: “Hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenang.”

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jika sesuatu kaum berkumpul dalam rumah-rumah Allah membaca kitab Allah, mempelajarinya di antara mereka, maka akan turunlah kepada mereka sakinah, mereka pun diliputi rahmat, serta dinaungi oleh malaikat. Allah pun menyebut mereka di hadapan malaikat-malaikatNya, barangsiapa yang memperlambat untuk melakukannya, dia akan merugi.”

Ketahuilah bahawasanya ketika engkau membaca al-Quran engkau berada pada hadhirat Allah dan penduduk langit mengingatimu.

Disebutkan dalam hadith qudsi yang diriwayatkan dari Tuhan yang Maha Mulia:

Aku menjadi teman duduk bagi orang yang mengingatiKu.”  (Hasan – diriwayatkan oleh at-Tirmizi (3524) dan at-Tabrani di dalam as-Shagir (1/159) serta al-Misykah (2454)

Abu Dzar bertanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk berwasiat kepadanya. Diapun berkata: “Berwasiatlah kepadaku wahai Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Hendaklah kamu membaca al-Quran sesungguhnya ia merupakan cahaya bagimu di dunia dan sebutan bagimu di langit.”

Penghormatan mushaf adalah hendaknya tiap harinya engkau tidak lupa untuk membacanya dan melihatnya. Berusahalah selalu untuk membaguskan bacaan al-Quran dengan memberikan tiap huruf haknya dan mustahaknya baik itu ghunnah, idgham, iqlab dan mad serta lain sebahagiannya yang berkenaan hukum-hukum tajwid. Berusahalah engkau mempelajari hukum-hukum ini dari guru qiraat yang boleh melafazkan bacaannya hingga sanad bacaanmu bersambung kepada Rasulullah s.a.w. hingga bacaanmu menjadi betul.

Sumber :
Prof Syeikh Mutawally Sya’rawi
“Mencintai Allah”