Mukjizat cinta dan iman

CINTA adalah satu perkataan yang tidak asing lagi di telinga kita. Apalagi di kalangan remaja, kerana sudah menjadi anggapan umum bahawa cinta sinonim dengan ungkapan rasa sepasang sejoli yang mabuk asmara.

Ada yang mengatakan cinta itu suci, cinta itu agung, cinta itu indah dan terlalu indah hingga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, hanya dapat dirasakan dan sebagainya. Bahkan ada yang menggambarkan oleh kerana tersangat indahnya cinta, syaitan pun berubah menjadi bidadari “racun dirasa bagaikan madu?”

Yang jelas kerana cinta, ramai orang yang merasa bahagia namun sebaliknya kerana cinta ramai pula yang tersiksa dan merana. Cinta dapat membuat seseorang menjadi sangat mulia, dan cinta pula yang menjadikan seseorang menjadi sangat tercela.

Kita tahu bagaimana kecintaan Khadijah r.a. kepada Rasulullah SAW yang rela mengorbankan apa sahaja yang dimilikinya dengan perasaan bahagia demi perjuangan si kekasih yang menjadikannya mulia. Sebaliknya ada pemudi yang mengorbankan kehormatannya demi untuk menyenangkan si kekasih yang dia lakukan atas nama cinta. Atau ada remaja yang menghabiskan nyawanya (na’udzubillahi min zalik) hanya kerana cinta. Cinta yang sedemikianlah yang membawanya kepada kehinaan.

Lalu, apa sebenarnya makna daripada cinta?

Benarkah cinta hanyalah sepenggal kata namun mengandung sejuta makna?
Atau pendapat para filosof bahawa makna cinta tergantung siapa yang memandang?

Rupanya tepat seperti ungkapan Ibnu Qayyim Al-Jauziah tentang cinta, bahwasanya,

“Tidak ada batasan tentang cinta yang lebih jelas daripada kata cinta itu sendiri.”

Ada pun kata cinta itu sendiri secara bahasa adalah kecenderungan atau keberpihakan. Bertolak dari sini cinta dapat didefinisikan sebagai sebuah gejolak jiwa dimana hati mempunyai kecenderungan yang kuat terhadap apa yang disenanginya sehingga membuat untuk tetap mengangankannya, menyebut namanya, rela berkorban atasnya dan menerima dengan segenap hati apa adanya dari yang dicintainya serasa kurang sekalipun, dan ia tumpahkan dengan kata-kata dan perbuatan.

Pandangan Islam terhadap cinta

Cinta dalam pandangan Islam adalah suatu perkara yang suci. Islam adalah agama fitrah, sedang cinta itu sendiri adalah fitrah kemanusiaan. Allah SWT telah menanamkan perasaan cinta yang tumbuh di hati manusia. Islam tidak pula melarang seseorang untuk dicintai dan mencintai, bahkan Rasulullah SAW menganjurkan agar cinta tersebut diutarakan.

“Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia mencintainya.” (HR Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Seorang muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai, bahkan dianjurkan agar mendapat keutamaan-keutamaan. Islam tidak membelenggu cinta, kerana itu Islam menyediakan penyaluran untuk itu (misalnya lembaga pernikahan) di mana sepasang manusia diberikan kebebasan untuk bercinta.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Ruum : Ayat 21)

Ayat di atas merupakan jaminan bahawa cinta dan kasih sayang akan Allah tumbuhkan dalam hati pasangan yang bersatu kerana Allah (setelah menikah). Jadi tak perlu menunggu “jatuh cinta dahulu” baru berani menikah, atau pacaran dahulu baru menikah sehingga yang menyatukan adalah si syaitan durjana (na’udzubillahi min zalik). Jadi Islam jelas memberikan batasan-batasan, sehingga nantinya tidak timbul fenomena kerosakan pergaulan dalam masyarakat.

Dalam Islam ada peringkat-peringkat cinta, siapa yang harus didahulukan, diutamakan dan siapa, apa yang harus diakhirkan. Tidak boleh kita menyetarakan semuanya.

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).” (Al-Baqarah : Ayat 165)

Menurut Syaikh Ibnul Qayyim, seorang ulama di abad ke-7,

Ada enam peringkat cinta (maratibul – mahabbah), iaitu:

1. Peringkat ke 1 dan yang paling tinggi / paling agung adalah tatayyum, yang merupakan hak Allah semata-mata. “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Rabbul ‘alamiin.”

“Sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah”. (Al-Baqarah:Ayat 165)

Jadi, ungkapan-ungkapan seperti: “Kau selalu di hatiku, bersemi di dalam kalbu”
atau “Kusebutkan namamu di setiap detak jantungku”, “Cintaku hanya untukmu” dan sebagainya seharusnya ditujukan kepada Allah. Kerana Dialah yang memberikan kita segala nikmat/kebaikan sejak kita dilahirkan, bahkan sejak dalam rahim ibu. Jangan terbalik, baru diberi sekelumit cinta dan kenikmatan dari si “darling” kita sudah hendak menyerahkan jiwa raga kepadanya yang merupakan hak Allah.

Lupa kepada Yang Maha Pemberi Nikmat.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran”. (Al-Baqarah:Ayat 164)

2. Peringkat ke 2; ‘isyq yang hanya merupakan hak Rasulullah SAW. Cinta yang melahirkan sikap hormat, patuh, ingin selalu membelanya, ingin mengikutinya, mencontohinya, dan sebagainya, namun bukan untuk menghambakan diri kepadanya.

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Aali Imran : Ayat 31)

3. Peringkat ke 3; syauq iaitu cinta antara mukmin dengan mukmin lainnya. Antara suami isteri, antara orang tua dan anak, yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah.

4. Peringkat ke 4; shababah iaitu cinta sesama muslim yang melahirkan ukhuwah Islamiah.

5. Peringkat ke 5; ithf (simpati) yang ditujukan kepada sesama manusia. Rasa simpati ini melahirkan kecenderungan untuk menyelamatkan manusia, berdakwah, dan sebagainya.

6. Peringkat ke 6 adalah cinta yang paling rendah dan sederhana, iaitu cinta/keinginan kepada selain dari manusia: harta benda. Namun keinginan ini sebatas intifa’ (pendayagunaan/pemanfaatan).

Hubungan cinta dan keimanan

Dalam Islam cinta dan keimanan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Cinta yang berlandaskan iman akan membawa seseorang kepada kemuliaan; sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan iman akan menjatuhkan seseorang ke jurang kehinaan.

Cinta dan keimanan laksana kedua belah sayap burung. Al-Ustadz Imam Hasan Al-Banna mengatakan bahawa “dengan dua sayap inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan”. Bagaimana tidak, jikalau iman tanpa cinta akan pincang, dan cinta tanpa iman akan jatuh ke jurang kehinaan. Selain itu iman tidak akan terasa lazat tanpa cinta dan sebaliknya cinta pun tidak lazat tanpa iman.

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW:

“Barangsiapa ingin memperoleh kelazatan iman, hendaklah ia mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT.” (Riwayat Imam Ahmad, dari Abu Hurairah)

Tidak hairanlah ketika Uqbah bin Al-Harits telah bercerai dengan isteri yang sangat dicintainya Ummu Yahya, atas persetujuan Rasulullah SAW hanya kerana pengakuan seorang wanita tua bahawa ia telah menyusukan pasangan suami isteri itu di saat mereka masih bayi. Allah mengharamkan pernikahan saudara sesusuan.

Demikian pula kecintaan Abdullah bin Abu Bakar kepada isterinya, yang terkenal kecantikannya, keluhuran budinya dan keagungan akhlaknya. Ketika ayahnya mengamati bahawa kecintaannya tersebut telah melalaikan Abdullah dalam berjihad di jalan Allah dan memerintahkan untuk menceraikan isterinya. Pemuda Abdullah memandang perintah tersebut dengan kacamata iman, sehingga dia rela menceraikan belahan jiwanya tersebut demi mempererat kembali cintanya kepada Allah.

Subhanallah, pasangan tersebut telah bersatu kerana Allah, saling mencintai kerana Allah, bahkan telah bercinta kerana Allah, namun mereka juga rela berpisah kerana Allah. Cinta kepada Allah di atas segalanya.

Bagaimana pula halnya dengan pasangan yang terlanjur jatuh cinta, atau yang berpacaran atau sudah bercinta sebelum menikah?

Hanya ada dua jalan; bersegeralah menikah atau berpisah kerana Allah, nescaya akan terasa lazat dan manisnya iman. Dan janganlah mencintai si dia lebih daripada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dari Anas r.a., dari Nabi SAW, beliau bersabda:

“Ada tiga perkara dimana orang yang memilikinya akan merasakan manisnya iman, iaitu mencintai Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya kalau dilempar ke dalam api”. (HR Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

“Demi zat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai”. (HR Muslim)

Cinta kepada Allah, itulah yang hakiki

Cinta bagaikan lautan, sungguh luas dan indah. Ketika kita tersentuh tepinya yang sejuk, ia mengundang untuk melangkah lebih jauh ke tengah, yang penuh rintangan, hempasan dan gelombang pada siapa sahaja yang ingin mengharunginya. Namun carilah cinta yang sejati, di lautan cinta berbiduk taqwa berlayarkan iman yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu, insya’ Allah kita akan sampai kepada tujuannya iaitu: cinta kepada Allah, itulah yang hakiki, yang kekal selamanya. Adapun cinta kepada makhluk-Nya, pilihlah cinta yang hanya berlandaskan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Bukan kerana pujuk rayu syaitan, bukan pula kerana desakan nafsu yang menggoda.

Cintailah Allah, berusahalah untuk menggapai cinta-Nya. Menurut Ibnu Qayyim, ada

10 perkara yang menyebabkan orang mencintai Allah SWT:

  1. Membaca Al-Quran dan memahaminya dengan baik.
  2. Mendekatkan diri kepada Allah dengan solat sunat sesudah solat wajib.
  3. Selalu menyebut dan berzikir dalam segala keadaan dengan hati, lisan dan
    perbuatan.
  4. Mengutamakan kehendak Allah di saat berbenturan dengan kehendak hawa nafsu.
  5. Menanamkan dalam hati Asma’ul Husna dan sifat-sifatnya dan memahami maknanya.
  6. Memperhatikan kurnia dan kebaikan Allah kepada kita.
  7. Menundukkan hati dan diri ke pangkuan Allah.
  8. Menyendiri bermunajat dan membaca kitab sucinya di waktu malam ketika orang sedang nyenyak tidur.
  9. Bergaul dan berkumpul bersama orang-orang soleh, mengambil hikmah dan ilmu dari mereka.
  10. Menjauhkan sebab-sebab yang dapat menjauhkan kita daripada Allah.

Saling mencintailah kerana Allah agar dapat mendapatkan kecintaan Allah. Dalam hadith Qudsi Allah berfirman;

“CintaKu harus Ku-berikan kepada orang-orang yang saling mencintai keranaKu, Cinta-Ku harus Ku-berikan kepada orang-orang yang saling berkorban kerana-Ku, dan Cinta-Ku harus Ku-berikan kepada orang-orang yang menyambung hubungan kerana-Ku”.

Hiduplah di bawah naungan cinta dan saling mencintailah kerana keagungan-Nya, nescaya akan mendapatkan naungan Allah, yang pada hari itu tidak ada naungan selain naungan-Nya.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda;

“Pada hari kiamat Allah berfirman: Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari yang tiada naungan selain naungan-Ku ini, Aku menaungi mereka dengan naungan-Ku”. (HR. Muslim)

Bahkan Allah memuliakan mereka yang saling mencintai dan bersahabat kerana Allah, yang membuat para nabi dan syuhada’ merasa iri terhadap mereka mereka. Nasa’i meriwayatkan dengan sanad dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda;

“Di sekeliling Arasy, terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah cahaya pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi para nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka”.

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahulah kami tentang mereka!”

Beliau bersabda, “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi kerana Allah”.

“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Cinta terhadap-Mu dan Cinta kepada mereka yang mencintai-Mu, dan apa sahaja yang mendekatkan kami kepada Cinta-Mu, dan jadikanlah Cinta-Mu itu lebih berharga bagi kami daripada air yang sejuk bagi orang yang dahaga”.

Akhirul qalam, bertanyalah pada diri kita sendiri:

  • Sudahkah aku menemukan cinta yang hakiki, cinta yang sejati dalam hidup ini?
  • Sejauh mana aku mengenal-Nya, asma’ (nama)-Nya, sifat-sifat-Nya, kehendak-Nya, larangan-Nya?
  • Seringkah aku mengingati-Nya, menyebut nama-Nya melalui zikir-zikir yang panjang?
  • Seringkah aku mendekatkan diri kepada-Nya dengan solat serta ibadah-ibadah lainnya?
  • Seringkah aku merintih, mengadu dan mengharap kepada-Nya melalui untaian doa yang keluar dari lubuk hati?
  • Sudahkah aku mengikuti kehendak-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya?
  • Apakah aku mencintai seseorang kerana-Nya atau kerana dorongan nafsuku sendiri?
  • Sejauh mana aku berusaha untuk mengekang hawa nafsuku sendiri?

Wallahu’alam

14 thoughts on “Mukjizat cinta dan iman

  1. Bagus, aku sepakat,setuju.tapi memang bagaimana pun bicara lebih mudah daripada melaksanakannya. Kelebihan umat muslim adalah amar ma’ruf nahi munkar.Mudah2n kita termasuk Hamba yg mendapatkan Ridho-Nya,juga syafaat baginda Rasulullah SAW

  2. stuju bgt!!! aku remaja yg sering bgt putus nyambung ama pacar dengn pengertian cinta yg dangkal… sebesar-besarnya cinta pcr ke ak, tdk pernah melebihi cinta Tuhan ke aku…. walau aku manusia jarang menyadarinya. sekrag memang sudah saatnya untuk sadar!!! menuju cinta sejati…. cinta Tuhan ke kita tak ada matinya!!!,, bayangkan, sudah berapa kali sehari kt bernafas??? kt patut utk mencurahkan rasa sukur kita. THX

  3. Tulisan anda sangat bagus, tapi sayang sekali banyak orang yang tdk tau makna cinta sesungguhnya yang ada tulisan ini.
    saya berharap dapat mempublikasikan tulisan ini lengkap dengan nama penulis, kurang lebihnya saya minta maaf..

  4. kesadaranku ada….
    buat apa ada kata cinta jika tnyata buat makna dangkal saja kita blom bisa
    ..
    begitu manis kita berkata..
    tapi kadang malah lupa makna besar dari cinta…
    thank
    jika polling anda sangt mngerti arti cinta
    Tuhanku…
    keluargaku…
    baru untkMu..
    ku berikan cintaku…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s