Adab Mendekatkan Diri Kepada Allah – Fasal 3

Mutiara Kalam Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad

Para ahli suluk mestilah bersungguh-sungguh menjaga hatinya dari penyakit was-was, angan-angan dan lintasan yang meragukan. Perlu dibina di pintu hati itu, sebuah benteng (Al-Muraqabah) yang mendindingi penyakit-penyakit itu. Seandainya penyakit-penyakit itu menembusi dinding jiwa insan, maka akan rosaklah ia dan lebih sulitlah pula untuk memulihkannya.

Mestilah bersungguh-sungguh memeliharanya, sebagai tempat pandangan Allah. Janganlah sampai ia menjadi cenderung kepada syahwat dunia, seumpama penyakit dengki, khianat, penipuan dan buruk sangka (terhadap sesama Muslim). Harus sentiasa menjadi penasihat kepada mereka, bersikap penyayang, pengasih dan menganggap mereka sentiasa dalam kebaikan. Kasihanilah mereka seperti mengasihani diri sendiri, serta tanamlah perasaan benci terhadap keburukan yang menimpa mereka seperti bencinya kita jika menimpa diri kita sendiri.

Perlu juga kita fahami bahawa hati itu juga memiliki dosa. Bahkan dosanya lebih kotor dan buruk dari dosa yang dilakukan oleh anggota badan. Cinta kepada Allah tidak akan sempurna kecuali hati kita dibersihkan dari segala macam penyakit.

Seburuk-buruk penyakit hati adalah sombong, bangga diri dan dengki. Bagaimana sifat takabur dan sombong boleh menyelaputi dalam jiwa manusia sedangkan ia mengenali dirinya sebagai hamba Allah. Diri hamba berasal dari air seni yang hina. Sementara tidak lama lagi akan menjadi bangkai yang busuk. Seandainya ada sedikit kebaikan dan kelebihan, itu hanyalah kurniaan Allah. Dia tidak mempunyai keupayaan dan kepandaian untuk memperoleh sifat itu. Sewajarnya dia merasa takut untuk bersifat sombong terhadap makhluk Allah. Justeru kelebihan itu adalah anugerah Allah. Oleh itu tidak mustahil kelebihan itu akan dicabut kembali oleh Allah kerana rosaknya akhlak dengan menyamakan dirinya dengan sifat Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mulia dengan kebesaran-Nya.

Sifat riya’ pula yang dimiliki oleh seseorang adalah suatu tanda bahawa di dalam jiwanya sunyi dari merasakan keagungan dan kebesaran Allah SWT. Mereka cuma memperelok-elokkan dirinya semata-mata kerana makhluk, dan mereka tidak yakin dengan apa yang diketahui oleh Tuhannya.

Barangsiapa yang beramal salih dan amat mengharap orang lain mengetahuinya agar ia diagungkan maka dia adalah seorang yang riya’, menunjuk-nunjuk dan jahil. Matlamatnya hanya dunia. Orang yang benar-benar zuhud adalah orang yang tidak melatah dengan pujian orang lain dan upahan yang diberikan. Namun sebodoh-bodoh manusia membuat amalan akhirat sekadar untuk dunianya. Sepatutnya walaupun dia tidak berupaya untuk berlaku zuhud cukuplah dia mecari yang Maha Esa. Sesungguhnya semua jiwa manusia adalah milik Allah. Dia akan menerima dan mengabulkan apa yang diharap dan dipintanya.

Penyakit hasad pula adalah musuh Allah yang nyata. Orang yang bersifat hasad sebenarnya cuba mempertikaikan kurniaan Allah terhadap hamba pilihan-Nya. Seandainya ada terlintas dijiwa insan perasaan ini, dia telah cuba untuk mencanggahi kehendak Allah. Bahkan dia telah biadab dengan Sang Pencipta yang Maha Bijaksana. Orang ini layak mendapat kebinasaan.

Hasad ini boleh berlaku dalam urusan dunia, seperti kedudukan dan kekayaan. Ini merupakan yang sekecil-kecilnya. Namun sewajarnya orang itu bukan dijauhi tetapi dikasihi, memandangkan sebenarnya ia sedang diuji. Di samping itu sepatutnya ia bersyukur kepada Allah yang mana ia telah terselamat dari ujian itu.

Hasad juga boleh berlaku dalam urusan ilmu dan amal. Sesuatu yang amat buruk ialah apabila tertanam perasaan dengki kepada rakan sepenuntut. Bahkan sepatutnya ia merasa gembira beroleh teman seperjuangan yang boleh membantu dalam perjalanannya untuk mengukuhkan ketaqwaannya. Orang mukmin itu menjadi utuh dengan saudaranya.

Salah satu kewajipan bagi seorang Muslim ialah berusaha bersungguh-sungguh dengan jiwa dan raganya untuk menghimpunkan manusia yang mentaati Allah, tanpa menghiraukan siapakah manusia yang paling taat dan siapakah pula yang terhebat. Itu adalah kurniaan Allah. Dia mengurniakan kelebihan-Nya kepada siapa yang dikehendaki dengan cara-Nya.

Banyak akhlak hati itu terdapat pada diri manusia. Demi meringkaskan perbincangan hanyalah disebut sifat-sifat buruk yang menjadi punca kepada segala kerosakan. Punca utama dan asal segala penyakit hati adalah cinta kepada dunia. Hal ini telah ditegaskan di dalam hadis yang bermaksud: “Punca segala kerosakan adalah cinta dunia.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s