Adab Mendekatkan Diri Kepada Allah – Fasal 12

Mutiara Kalam Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad

Barangsiapa diuji dengan kesusahan dan kemiskinan seharusnya bersyukur kepada Allah dan merasakan ia adalah sebesar-besar nikmat, kerana dunia itu adalah musuh orang-orang yang bertaqwa. Syukurlah kepada Allah kerana menyerupai sifat para nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang yang salih.

Junjungan mulia, semulia-mulia hamba Allah dibumi ini Saiyidina Muhammad s.a.w., pernah mengikat perutnya dengan batu disebabkan lapar. Pernah juga sehingga lebih dua bulan dapur rumah Baginda s.a.w. tidak pernah menyala apinya kerana tiada ada apa-apa yang hendak dimasak. Sekadar mengalas perut dengan air dan tamar. Ketika dikunjungi oleh tetamu, Rasulullah mencari apa-apa yang boleh dijamu di rumah-rumah isteri Baginda s.a.w. Namun malangnya sedikit pun tidak didapati. Dihari kewafatan Baginda s.a.w. perisai Baginda s.a.w. masih tergadai pada seorang Yahudi untuk mendapat beberapa cupak gandum. Sehinggalah tiada seorang pun di rumah Baginda s.a.w. dapat makan dengan gandum yang hanya sedikit.

Binalah niat dan kemahuan dalam perjalanan ini dengan bersih. Jadikan diri sekadar dan seadanya, dengan sehelai kain untuk menutup aurat. Sedikit makanan yang dapat menghilangkan rasa lapar. Hati-hatilah daripada racun yang boleh membunuh, iaitu terlalu seronok dan gembira dengan nikmat dunia. Ketahuilah setiap bentuk nikmat yang diperolehi akan dipersoal. Sekiranya hamba itu mengetahui betapa kejerihan yang dialami, kesusahan yang dihadapi dan kebimbangan yang dikecapi oleh pencari dunia niscaya ia akan dapati dari pencariannya lebih dahsyat dari apa yang diperolehi.

Memadailah orang yang mengejar dunia mendapat celaan dari Allah seperti yang tertera dalam firman-Nya:

“Kalaulah tidak kerana manusia ini ummah yang satu, niscaya Aku kurniakan kepada orang-orang kafir itu istana yang beratapkan perak, bumbung-bumbungnya yang besar megah, rumah yang banyak biliknya, katil-katil yang terukir indah tempat mereka berehat dan itulah keseronokan dunia. Sebenarnya habuan (istimewa) di akhirat hanya untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Az-Zukhruf: 33-34)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Dunia itu penjara bagi orang mukmin, syurga bagi orang kafir. Kalaulah berat dunia itu setimbang kepaknya lalat di sisi Allah, niscaya tidak akan dapat minum orang kafir walau seteguk air.” Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah memandangnya semenjak ia (dunia) dicipta.

Ketahuilah bahawa rezeki itu ada yang telah ditetapkan dan ada yang telah dicatukan. Ada hamba dimurahkan rezeki seluas-luasnya. Ada juga sebaliknya. Itulah hikmah Allah. Andainya rezeki yang telah ditentukan itu sempit sebaiknya bersabar, redha dan bersikap sederhana atas apa yang telah dikurniakan. Andai pula rezeki yang dikurniakan itu agak luas dan mewah, gunakanlah rezeki itu dengan sempurna dan secukupnya. Lebihannya hendaklah dibelanjakan ke arah kebaikan.

Apabila seseorang itu ingin menuju kepada Allah, bukanlah seseorang itu dimestikan atau terpaksa meninggalkan hartanya. Tidak perlu ia meninggalkan kerjayanya, perniagaannya dan minatnya. Bahkan apa yang menjadi kepastian wajiblah sentiasa dalam taqwa di setiap gerak gerinya. Tidak meninggalkan kewajipan dan amalan-amalan sunnah. Tidak jugak melakukan kemungkaran dan perkara sia-sia.

Ilmu, hati dan agama seseorang tidak akan menjadi sempurna kecuali menjadikan dunia di belakangnya. Harta kemewahan atau sebarang sebab-sebab duniawi tidak dijadikan matlamat. Seandainya para ahli suluk memiliki keluarga, wajib baginya bertanggungjawab terhadap makan minum dan pakaian mereka. Kecuali orang-orang yang tidak berupaya.

Tiada siapa yang mampu untuk mempertahankan dirinya untuk kekal dalam ketaatan, meninggalkan segala macam maksiat dan meninggalkan dunia. Selain setiap individu itu hendaklah menyedari yang semuanya akan pergi ke alam yang kekal. Maka bersedialah untuk mati, kerana pemergian itu boleh berlaku pada bila-bila masa.

Tidak boleh kita panjangkan harapan. Inilah yang akan menjadi punca cintakan dunia, sehingga menjadi malas dan senang melakukan maksiat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s