Adab Mendekatkan Diri Kepada Allah – Fasal 17

Mutiara Kalam Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad

Para ahli suluk juga wajiblah mengambil berat soal persahabatan iaitu bersahabat dengan orang-orang yang baik dan mendampingi orang yang salih.

Mereka juga mestilah mendapatkan seorang pendidik hidupnya (Syeikh yang salih lagi mursyid) iaitu orang yang benar arif berkenaan soal agama. Ahli dalam soal pendidikan jiwa, mengecapi nikmat hakiki iman, sempurna akal pemikirannya, lapang dadanya, elok pentadbiran hidupnya, mengenali dan memahami soal-soal kemanusiaan serta mempunyai kemampuan dalam segenap sudut kehidupan.

Sekiranya seseorang itu bertemu dengan guru yang seumpama ini maka rebutlah peluang yang sangat berharga. Sebaik-baiknya jadikanlah diri sebagai pelajarnya. Ambillah didikan dan tunjuk ajar dalam segala urusan hidup. Berusaha untuk mencontohi segala yang terbaik dari bicara dan perilakunya, kecuali hal-hal yang hanya berkaitan dengan peribadinya. Seumpama urusan perhubungan beliau dengan orang lain, soal-soal dakwahnya dengan orang yang hampir dan jauh. Jangan mencampuri urusan beliau dengan orang lain. Serahlah urusan ini kepada guru untuk melaksanakannya. Jangan pula menjadi pelajar yang suka membangkang dan banyak mempertikaikan tindak-tanduk guru.

Usahakanlah bersungguh-sungguh untuk menghindari dari berprasangka buruk dan lintasan yang jahat kepada guru. Boleh juga memohon bantuan guru jika didatangi gangguan-gangguan seumpama ini, agar ia boleh menunjukkan jalan keluarnya. Sentiasa memaklumkan kepada guru terhadap apa jua yang berlaku pada diri ahli suluk.

Kesetiaan tidak cukup hanya pada zahir sahaja, sedangkan di dalam hati penuh dengan kebencian. Keingkaran murid kepada guru hanya merosakkan diri. Janganlah duduk di mana-mana majlis guru lain kecuali dengan izinnya terlebih dahulu. Kebenaran guru itu haruslah digunakan dengan sebaiknya dan peliharalah hati. Seandai tidak mendapat kebenaran maka perlulah kita memahaminya. Bahawa guru adalah lebih mengetahui apakah keutamaan untuk diri seseorang. Janganlah disangka guru dengan sangkaan buruk seperti dengki dan cemburu.

Jangan sesekali memohon dari Syeikh untuk mendapat karamah dan kasyaf. Perkara-perkara ghaib tiada siapa yang mengetahui kecuali Allah. Para wali itu hanya mungkin dikurnia Allah dengan sedikit perkara-perkara ghaib di setengah waktu. Terkadang juga sesetengah para ahli suluk meminta gurunya mendedahkan soal lintasannya namun gurunya tidak berbuat demikian mungkin untuk memeliharanya. Guru mereka adalah golongan yang dipelihara Allah dari menunjuk-nunjuk diri dengan karamah. Para wali itu sentiasa menyimpan rahsia.

Seandainya berlaku sebarang karamah itu semata-mata kurniaan Allah. Mereka juga tidak akan menjadikannya sebagai bahan cerita sehingga mereka meninggalkan dunia yang fana’. Sekiranya dizahirkan juga mungkin sekadar memelihara kepentingan yang lebih utama.

Seorang guru yang sempurna adalah bakal mendidik para pelajar dengan penuh semangat, tingkah laku dan perbicaraannya. Memelihara mereka pada setiap waktu samada bersama atau tidak. Bahkan ketika berjauhan mereka akan mendapatkan isyarat didikan melalui lintasan hati.

Perkara yang amat berbahaya kepada setiap ahli suluk apabila gurunya merasa kecil hati dan berubah sikap terhadapnya. Seandainya ia cuba mencari guru-guru yang lain untuk mendidiknya dia tidak akan berjaya, sehinggalah mendapat restu.

Wajiblah bagi setiap ahli suluk memastikan benar-benar ketokohan gurunya. Bukan setiap orang yang dikenali dengan Syeikh dijadikan guru. Bahkan perlu wujud perhubungan jiwa di antara mereka.

Demikian halnya bagi setiap guru (Syeikh) tidak akan mengambil setiap orang yang mendatanginya sebagai anak didiknya. Wajiblah diuji (kemahuannya terhadap bimbingan jalan menuju kepada Allah). Inilah yang dikenali dengan ‘Syeikh At-Tahkim’.

Syarat-syarat bagi ahli suluk wajiblah menjadikan dirinya seperti jenazah di sisi guru. Seumpama anak-anak kecil di sisi ibunya. Sedangkan hal ini tidak akan berlaku kepada ‘Syeikh Tabarruk‘ (guru sekadar mendapat barakah). Tidak menjadi suatu larangan para ahli salik untuk mendatangi Syeikh Tabarruk seberapa ramai yang mungkin. Namun sekadar mendapat barakah dan bukan untuk tahkim.

Sekiranya para ahli suluk tidak menemui guru pendidiknya, wajiblah ia berusaha dengan penuh gigih dan luhur untuk mendidik diri menuju kepada Allah. Sentiasalah menaruh harapan agar beroleh orang yang menunjukkannya ke jalan yang benar, niscaya Tuhan yang Maha Memakbulkan segala harapan orang yang berharap akan mengurniakan baginya pembimbing ke jalan Allah.

Terdapat juga di kalangan ahli salik yang tiada guru pendidik, walaupun ia berusaha mendapatkannya. Sedangkan ia mempunyai guru tanpa disedari dan dilihatnya. Gurunya membimbing dengan sebaik-baik bimbingan. Ketika ia mendapatkan sesuatu sebenarnya ia beroleh kenyataan yang benar. Sebenarnya pembimbing yang luhur itu sentiasa ada. Maha Suci Allah yang tidak menjadikan petunjuk kepada para walinya kecuali melalui kuasa-Nya dan petunjuk-petunjuk-Nya sendiri. Tidak akan sampai seseorang kepada jalan yang mereka cari, kecuali melalui jalan-jalan orang yang pernah lalu dan sampai kepada Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s