Jangan Tersilap Membuat Pilihan

Wahai anakku,
Rehatkan sebentar segala pemikianmu dan keinginanmu. Marilah kita berbicara persoalan yang penting dalam kehidupan ini, iaitu apakah maknanya hidup ini? Memang dunia tidak akan berhenti dari putarannya, angin akan terus bertiup, laut tetap bergelombang dan ombaknya sentiasa menghempas ke pantai. Namun kita adalah manusia, kita tidak boleh mengikut mereka. Mereka adalah makhluk yang tiada menghadapi persoalan besar. Mereka tiada akal, mereka tiada cita rasa, mereka tiada dosa dan pahala.

Wahai anakku,
Kita telah dicipta sebagai makhluk yang bernama manusia, manusia yang diberi daya fikir yang tinggi, daya perasaan yang halus, dicipta-Nya anggota tubuh yang indah. Maka kita perlu jujur dan berbicara dengan diri yang ghaib di alam diri kita, berbicara tentang soal kehidupan. Kita perlukan kejujuran, kesucian dan kemurniaan. Kita boleh menipu manusia dengan berselindung di sebalik senyuman, kerjaya yang baik, pangkat, memiliki harta atau keluarga bahagia, namun persoalannya adakah perkara itu sebenarnya kebahagiaan?

Dahulu persoalan ini sentiasa bermain dalam fikiranku. Aku merasakan bahawa apa sahaja yang dikatakan nikmat dunia ini telah aku perolehi, namun ia tiada penghujung, ia bagaikan bintang yang ada di waktu malam, namun hilang pada siangnya.

Wahai anakku,
Engkau mesti mencari jawaban terhadap persoalan-persoalan ini. Jangan biarkan kamu teraba-aba dalam kehidupanmu, jangan biarkan dirimu tiada arah, tiada tujuan, tiada jawaban. Soalan pertama yang hendak ku tanya pada dirimu ialah, adakah engkau mempercayai Tuhan, adakah engkau percaya kewujudan-Nya, adakah engkau percaya kasih-sayang-Nya, kekuatan-Nya, kebijaksanaan-Nya. Kalau kamu mengatakan “Ya”, maka soalan keduaku ialah adakah benar dirimu telah menunaikan hakmu sebagai hamba-Nya, adakah dahimu sujud pada-Nya, adakah suci dan ikhlas dirimu ketika beribadah pada-Nya, adakah kehidupanmu bermatlamat untuk-Nya atau untuk diri dan kepuasanmu semata-mata?”

Jika kamu tiada melakukan hal demikian apakah kamu tidak takut dan malu pada-Nya, adakah kamu menyangka bahawa segala perbuatanmu terlepas dari penglihatan-Nya, pengetahuan-Nya. Adakah kamu menyangka bahawa ia akan menerima kamu sebagai hamba-Nya jika kehidupan asyik menyembah hawa nafsu mu sendiri, bukan Diri-Nya.

Adakah kamu menyangka kamu akan terlepas dari murka-Nya. Kalau kamu mengatakan bahawa kamu tidak percaya akan wujud-Nya, maka setakat ini sahajalah perbicaraan kita, tiada guna membuang masa. Hiduplah kamu sepuas-puasnya dengan kepercayaanmu. Engkau meletakkan dirimu tiada beza dengan haiwan, tumbuhan, gunung dan dengan segala makhluk yang ada.

Hiduplah kamu untuk memuaskan nafsumu walaupun engkau tahu akalmu begitu jauh bezanya dengan haiwan. Kalau kamu yakin matimu bagaikan haiwan yang tiada tanggungjawab dengan kehidupan, teruskanlah kepercayaanmu itu jika kamu yakin ianya benar. Namun aku menasihati kamu, jika kamu benar berakal waras, mempunyai suara hati yang jujur, kamu akan menentang kepercayaan bodoh itu. Jika kamu tilik sedalam-dalamnya diri sendiri, ia akan memberi jawaban bahawa mustahil bagimu untuk menolak kewujudan-Nya.

Wahai anakku,
Aku percaya semua manusia inginkan syurga. Mereka mencari syurga di dunia ini, namun sayang mereka tidak mencarinya dalam perjalanan para Nabi, para Sahabat, para Auliya’ dan salihin. Mereka mencari dengan telunjuk syaitan, mereka melihat kehidupan Barat, kehidupan artis, kehidupan bebas, kehidupan nafsu, kehidupan berpangkat, berharta adalah syurga. Begitu dangkalnya nilaian mereka, begitu sempitnya dunia mereka, mereka sanggup mati, bergaduh, memfitnah, berlaku zalim demi menjayakan kepercayaan mereka.

Percayalah wahai diri anakku, jangan tersilap membuat pilihan, hidup tidak diberi peluang untuk dua kali. Pilihan yang tepat mesti dibuat agar setiap nafas yang keluar tidak dalam kerugian dan kemurkaan-Nya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s